Masalah pertama:
Gerak-geri yang sedikit walaupun tiada membatalkan sembahyang,
tetapi hukumnya makruh melainkan kerana keperluan, iaitu; seperti menolak orang
lalu di hadapan, membunuh kelajenking atau menggaru kerana gatal yang tentu
sekali akan menggangu kekusyu’an. Kalau menguap, tidak mengapa meletakkan
tangan ke atas mulut; atau jika bersin bolehlah memuji Allah Azzawajalla di
dalam hati tanpa menyebut dengan lidah atau kiranya sendawa, maka janganlah
hendaknya mengangkat kepala ke atas.
Masalah kedua:
Jika seorang saja yang bersembahyang berimam, hendaklah berdiri di
sebelah kanan Imam di belakangnya sedikit. Jika makmumnya perempuan, hendaklah
dia berdiri di belakang Imam. Sekiranya hadir bersama mereka seorang lelaki
lain, hendaklah si lelaki itu berdiri di sebelah kanan belakang Imam, dan si perempuaan
di belakang makmum lelaki pula.
Masalah ketiga:
Makmum masbuk (terlewat) bila mendapat akhir sembahyang imam, maka
itulah permulaan sembahyangnya. Hendaklah ia menyertai Imam hingga selasai
sembahyangnya, kemudian ia meneruskan pula hingga genap semua sembahyangnya
sendiri. Pada sembahyang subuh hendaklah dia berqunut lagi dalam rakaat
keduanya sendirian, walaupun dia telah berqunut bersama Imam sebelumnya tadi.
Bila makmum masbuk mendapati Imam telah habis setengah dalam
berdirinya, maka janganlah ia membaca doa Iftitahnya lagi, malah hendaklah ia
terus membaca Fatihah dengan sedikit cepat. Tetapi apabila Imam ruku’ sedangkan
ia masih belum selesai membaca Fatihahnya, hendaklah mengagak kiranya sempat ia
mengusul Imam waktu i’tidalnya dari ruku’ bolehlah ia terus menghabiskan
Fatihahnya, jika tak sempat hendaklah ia berhenti dari Fatihah dan terus ruku’
bersama-sama Imam, sebab dihukumkan setengah Fatihahnya menjadi kesemuanya dan
gugurlah Fatihah itu dengan kemasbukannya. Jika Imam ruku’ sedangkan ia masih
membaca surah, hendaklah ia memutuskannya, lalu terus ruku’ bersama imam. Jika
ia mendapati di pertengahan sujud atau tasyahhud, hendaklah ia bertakbir ihram
dan terus sujud atau duduk bersama Imam tanpa perlu bertakbir lagi, kecuali
jika ia mendapati Imam di pertengahan ruku’, maka hendaklah ia bertakbir lagi
sesudah takbiratul-ihram, sebab takbir kedua itu adalah takbir perpindahan yang
mesti dikira atasnya.
Makmum masbuk tidak dikira mendapat satu rakat dengan Imam, selagi
tiada tumakninah di dalam ruku’nya, manakala Imam ketika itu masih dalam
batasan orang-orang yang ruku’, jika tiada bererti tiada terkiralah itu satu
rakaat.
Masalah keempat:
Sesiapa yang tertinggal sembahyang zohornya hingga ke waktu asar,
hendaklah ia bersembahyang zohor dulu kemudian asar pula, tetapi kiranya ada
orang yang mendirikan sembahyang asar berjemaah, hendaklah ia mendahulukan asar
berjemaah, kemudian bersembahyang zohor sesudah itu, sebab sembahyang berjemaah
itu lebih utama.
Masalah kelima:
Sesiapa yang telah menunaikan sembahyang kemudian didapati pada
pakaiannya ada najis, sebaik-baiknya ia mengqadha’kan sembahyang itu, tetapi
hukumnya tidak wajib qadha’. Jika ia melihat ada najis pada pakaiannya ketika
di dalam sembahyang, hendaklah ia melontarkan pakaian itu seraya meneruskan
sembahyangnya. Asal hukum ini ialah kembali kepada peristiwa Nabi menanggalkan
kedua kasutnya, apabila Jibril a.s. memberitahunya bahawa padanya ada najis,
maka segeralah baginda menanggalkannya, lalu meneruskan sembahyang hingga
akhirnya.
Masalah keenam:
Sesiapa yang meninggalkan tasyahhud awal ataupun merasa syak tidak
ingat berapa rakaat sudah dilakukannya; apakah tiga rakaat ataupun empat,
hendaklah ia ambil dengan yang yakin, kemudian ia sujud sahwi sebelum salam.
Kiranya ia lupa pula boleh juga dibawanya sujud sahwi itu sesudah salam apabila
ia ingat, asalkan masanya tidak terlalu jauh.
Masalah ketujuh:
Waswas dalam meniatkan sembahyang dalam hukum syara’. Kerana dalam
segi niat dan maksud mematuhi perintah Allah azzawajalla itu, samalah seperti
mematuhi perintah selainnya, begitu pula membesarkannya seperti membesarkan
selain darinya. Andaikata seseorang kamu telah didatangi oleh seorang alim,
lalu dia pun bangun kerana menghormati orang alim itu. Kalau dia berkata: Aku
berniat hendak berdiri tegak untuk menghormati kedatangan si Fulan yang
termulia itu, kerana keutamaannya, dan dia pun menghadapkan wajah kepada si
Fulan itu. Orang ini adalah seorang safih atau kurang sempurna akalnya (kerana
perkara serupa itu tidak perlu hendak diniatkan terlebih dulu – pent.). Tetapi
bila dilihatnya keadaan si Fulan itu dan diketahui keutamaannya, tentulah akan
timbul dalam dirinya perasaan ingin menghormatinya, dan dia lalu bangun
memberikan penghormatan; memadailah dengan cara begitu dia menjadi seorang yang
menghormati kepada si Fulan tadi. Kecuali jika dia bangun itu kerana tujuan
yang lain, ataupun dia bangun dalam keadaan lalai – itu tiada dikira sebagai
penghormatan.
Adapun mensyaratkan niat sesuatu sembahyang itu sebagai zohor yang
ditunaikan pada waktunya sebagai adaan, fardhan (tunai fardhu); iaitu kerana
menurut perintah syara’, maka itu samalah seperti mensyaratkan berdiri
menghormat seketika tamu masuk dengan muka menghadap kepada tamu yang masuk itu
serta memalingkan perhatian dari selainnya, dan serentak pula dia meniatkan
penghormatan kepada tamu itu agar benar-benar menjadi penghormatan yang tulen.
Andaikata ia turut berdiri tetapi membelakangi si tamu, atau menunggu seketika
waktu kemudian barulah ia berdiri; ini bukanlah dinamakan penghormatan.
Sifat-sifat ini mestilah menjadi termaklum dan termaksud pada orang yang
berniat dan tiada boleh hadirnya terlalu lama di dalam diri dalam suatu masa,
melainkan sekadar lamanya penyusunan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan
niat itu menerusi sebutannya dengan lidah, ataupun memikirkannya dengan hati.
Barangsiapa yang tiada mengerti niat sembahyang dalam wajah (rupa) ini,
seolah-olah dia belum mengerti niat yang sebenarnya. Jadilah ia seperti seorang
yang diajak untuk bersembahyang dalam waktunya, maka ia pun mengangguk tanda
setuju, lalu berdiri melakukan sembahyang itu.
Ketahuilah, bahawa waswas itu adalah kejahilan yang tulin.
Masalah kelapan:
Seorang makmum tidak boleh mendahului Imamnya dalam ruku’, sujud
dan bangun dari keduanya, begitu pula pada semua amalan-amalan sembahyang yang
lain. Dia tidak boleh juga menyertai gerak-laku Imamnya, tetapi hendaklah ia
mengikut, yakni membuat sesudah Imamnya, tetapi hendaklah ia mengikut, yakni
membuat sesudah Imam habis membuatnya. Itulah yang dimaksudkan dengan
pengertian iqtida’ (mengikut atau makmum). Jika ia mendahului gerak-laku
Imamnya, ada setengah ulama menghukumkan sembahyang itu batal dan setengah yang
lain tidak (tetapi hilang pahala berjemaah – pent.).
Rasulullah s.a.w. telah melarang dengan keras kelakuan serupa itu
dengan sabdanya:
“Tidakkah orang yang mengangkat kepalanya sebelum Imamnya itu
merasa takut, nanti Tuhan akan menggantikan kepalanya dengan kepala keledai.”
Masalah kesembilan:
Wajiblah atas setiap orang yang menghadiri sembahyang beramai-ramai
menegur saudaranya, jika ia melihat sesuatu kesalahan dalam sembahyang
saudaranya itu, dengan membetulkannya atau mengingatkannya. Kalau orang itu
seorang yang jahil tentang hal agamanya, maka hendaklah dia menegurnya dengan
lemah-lembut serta mengajarnya.
Di antara kesalahan-kesalahan yang sering berlaku ialah meratakan
saf, atau melarang berdiri sendirian di luar saf, atau mengingatkan supaya
jangan mengangkat kepala sebelum Imam atau sebagainya.
Diriwayatkan dari Umar Ibnul-Khattab, beliau berpesan:
Sering-seringlah mencari rakan-rakan kamu dalam sembahyang berjamaah, kiranya
mereka tiada hadir kerana mengidap penyakit, maka hendaklah kamu melawat
mereka. Jika mereka baik, tetapi tidak hadir berjamaah, hendaklah kamu mencela
mereka.
Mencela dari hadir sembahyang berjemaah adalah amat diberatkan oleh
agama, tidak boleh diambil senang saja. Orang-orang dahulukala sangat-sangat
mengambil berat sekali tentang sembahyang yang berjamaah.
Sumber: http://bimbinganmukmin.wordpress.com/
No comments:
Post a Comment